Dia menangis tersedu dalam
dakapanku.
"Kalaupun saya salah, tak
boleh ke mereka tegur depan-depan? Kenapa perlu cakap-cakap kat belakang".
Aku mengusap lembut
belakangnya, cuba menenangkan.
"Saya rasa saya ni macam
jahat sangat, saya tak tahu pun mereka tak suka dengan sikap-sikap saya". "Saya rasa macam semua orang tak suka saya, cakap buruk tentang
saya saya kat belakang", tangisnya makin menjadi-jadi, tak pernah aku lihat dia
menangis sebegitu kerana dia biasanya hanya suka berdiam dan memendam, susah
meluahkan perasaan.
"Mereka kata macam-macam,
saya ni pakai je tudung labuh, bawa imej Islam tapi perangai tak macam orang
tudung labuh. Salah ke saya menegur kalau saya nampak mereka buat perkara tak
betul? Memang saya akui saya agak tegas dan berterus terang, tapi saya bukan
nak malukan mereka. Saya tahu saya tak sempurna, saya bukan budak sekolah
agama, banyak lagi ilmu saya tak tahu. Mereka kata masa saya tak pakai tudung
labuh dulu, saya tak macam ni", rintihnya lagi.
Aku biarkan saja dia terus
meluahkan apa yang terbuku di hatinya, biar dia lega. Aku leraikan pelukannya,
namun terus mengelus lembut bahunya, mudah-mudahan dia diberi kekuatan.
"Awak menyesal pakai tudung
labuh?", aku meneka. Dia hanya membisu. Dikesatnya air jernih yang
turun melaju dari tubir matanya. Aku dapat mengagak jawapan disebalik
kebisuannya. "Awak berputus asa nak
menegur mereka lagi?", saya terus menduga.
"Buat apa nak tegur lagi,
kalau tegur pun akhirnya saya yang kena kutuk", perlahan dia
menjawab dalam sedu sedannya.
"Awak, Allah nak uji awak
hari ini. Inilah harga tudung labuh yang kita pakai, inilah harga yang kita
terpaksa bayar. Siapa kata pakai tudung labuh senang? Tak mudah seperti yang
mereka nampak.Bila dah bertekad untuk pakai tudung labuh, kita kena siapkan
juga fizikal, mental dan hati kita, kena kuat, kena tahan dengan cabaran.
Dan inilah antara ujiannya. Bilamana kita orang yang bertudung labuh buat
silap, terus dikaitkan dengan agama. Bahkan kita ni jadi perhatian di
mana-mana. Pada mereka, kita kena
jadi sempurna, kena tahu semua ilmu agama, dan tak boleh buat silap sikit pun.
Sedangkan, kita juga manusia, manusia yang banyak sangat kelemahan",
saya bersuara sambil memandang tepat ke wajahnya yang sugul.
"Jangan pernah menyesal
dengan diri awak, tudung awak. Jangan kerana masalah sekecil ini, awak dah
mengalah. Ujian ni banyak sangat hikmahnya untuk awak. Allah nak ajarkan
tentang sesuatu kepada awak. Sebelum ini awak mungkin tak pernah rasai ujian
bila bertudung labuh, awal-awal dulu, semua menyokong, memuji dan beri galakan.
Jadi mungkin awak tak terkesan sangat dengan istimewanya diri awak sekarang.
Bila Allah datangkan ujian macam ni, baru kita akan rasai, betapa tak mudah
sebenarnya, bersama tudung yang kita pakai, ada tanggungjawab besar
yang kita bawa bersama. Tanggungjawab untuk memegang amanah membawa imej
Islam, tanggungjawab memperbaiki diri, biar dalaman kita secantik luaran,
akhlak kita indah sebagaimana tudung kita, tanggungjawab mempersiapkan diri
dengan ilmu, kerana wanita seperti kita selalu jadi tumpuan bila
sahabat-sahabat ada permasalahan agama. Jangan anggap ia sebagai beban, anggap ia sebagai keistimewaan,
yang Allah bagi hanya khas kepada insan-insan yang Dia pilih. Nah, betul kan, bertudung labuh tak semudah yang disangka?
Hanya yang betul kental saja dapat terus istiqamah dengannya, dan yang
istiqamah dalam mengharapkan keredhaan Allah, bukan kah mendapat tempat
istimewa di sisiNya? Awak tak nak jadi terkenal pada padangan Allah dan
penduduk langit? Awak dah nak berputus asa?" Aku menduga.
Melihat dia terus membisu,
aku bersuara lagi.
"Begitu juga, ujian ini
mungkin nak menyedarkan sesuatu tentang dakwah yang berhikmah. Dulu kita biasa
saja dengarkan, kat mana-mana ustaz cakap, dalam mana-mana buku yang kita baca,
dakwah mesti berhikmah. Jadi sekarang Allah ajar awak bukan teori saja apa itu
dakwah berhikmah, tapi juga praktikalnya sekali. Bagaimana dakwah berhikmah? Mesti kena caranya, tempatnya,
sesuai perkataanya, tidak melukakan, tidak menyebabkan kemarahan orang yang
kita nasihatkan. Bagaimana kalau dakwahnya
tidak berhikmah? Maka jadilah, dakwah kita tak berkesan, mad'u kita terasa jauh
hati dengan nasihat kita, dan akhirnya keluar lah cakap-cakap belakang macam
yang awak alami. Jadi, awak jelaskan? Kenapa bersungguh benar Allah dan rasul
minta kita berdakwah secara berhikmah. Dan mungkin Allah nak tegur, cara awak,
Allah nak awak perbetulkan kaedah dakwah yang awak guna, Allah nak kata, salah
tu, kena perbaiki. Salahkah Allah tegur? Tak salah, kan. Allah tegur sebab Allah sayang, Allah tegur sebab nak bagi
kekuatan, Allah tegur supaya kerja-kerja ini dapat awak laksanakan dengan lebih
berkesan. Bila berdakwah, kita berhadapan dengan macam-macam ragam
orang. Ada yang sensitif, ada yang terbuka, jadi kena bijak kita sesuaikan.
Dai'e yang kental, takkan putus asa, sebab dia tahu, dakwah adalah kewajipan,
bukan pilihan."
"Lagi, apa Allah nak
bagitahu awak? Terasa sangat sakit dan terluka bila kita jadi bahan umpatan,
kejian dan kelemahan kita dibicarakan kat belakang, kan? Jadi bila kita tahu
sakitnya macam ni, kita jangan sesekali buat perkara sama kepada sahabat kita
sebab kita dah tahu betapa pedihnya, betapa peritnya akibat daripada perbuatan
ni. Boleh lukakan hati orang, boleh menyebabkan permusuhan juga. Bila ada
apa-apa yang perlu ditegur, dinasihati, jumpa sahabat kita sendiri, cakap secara
jujur dan ikhlas, insyaAllah semua orang suka kalau kelembutan digunakan, cepat
meresap. Kalau pun dia mungkin tak dapat terus berubah, sekurang-kurangnya dia
tak terasa hati, dan tak ada permusuhan antara kita."
"Awak, walaupun awak rasa
ujian ni sangat menyakitkan hari ni, tapi saya tak tengok satu pun perkara
buruk yang Allah maksudkan terhadap awak. Semuanya ada hikmah yang sangat
indah.Kenapa teguran Allah ini begitu perit, sakit? Sebab Allah nak kita
ingat, sebab yang menyakitkan tu lebih lekat dalam ingatan kita, kalau ujian tu
senang, mungkin kita tak hargainya. Allah nak kejutkan kita, mungkin Allah
terpaksa 'menyergah' kita dengan kuat."
Sedu-sedannya telah reda,
Ya Allah semoga kekalutan jiwa dia juga begitu.
"Habis, apa saya kena buat?", tanyanya.
"Sekarang awak perlu sujud
taubat kepada Allah, minta keampunanNya, mungkin ada kesilapan yang awak tak
sedari, bersyukur padaNya sebab menegur awak dengan ujian begini. Kemudian
pergilah jumpa sahabat-sahabat yang terasa dengan awak tu, minta maaf. Sekarang
tak timbul isu siapa bersalah pada siapa dulu, tapi yang sebaik-baiknya adalah leraikan permusuhan, minta dan beri kemaafan."
jawabku.
Dia menggenggam tanganku erat, "Terima kasih sahabat".
"Allah yang sedang memujuk
awak, saya pelakon tambahan saja, tapi saya bersyukur, Allah kurniakan anugerah
pengajaran yang tak ternilai untuk saya hari ni. Terima kasih ya Allah, terima
kasih pada awak juga." Hatiku tenang, moga Allah memberi dia ketenangan yang
sama.
Sahabat, walau siapa pun
kita, bertudung labuh, tudung biasa, atau yang tidak bertudung sekalipun, kita
SEMUA adalah manusia biasa, yang lemah, ada cacat celanya.
Sekiranya ada sahabat kita
terlalai, terlupa, tolonglah ingatkan dia dengan sebaik cara.
Dan yang paling utama, setiap apa saja ujian yang mendatangi kita, berbaik sangkalah
pada Allah. Bertenang, dan fikirkan hikmahnya dengan rasional. InsyaAllah, pasti dan pasti Allah
tidak akan pernah menzalimi kita.